PRN: Guan Eng pertahan kerusi,Ramasamy digugurkan di Pulau Pinang

DAP hari ini mengumumkan 19 calon termasuk tujuh muka baru yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang bulan depan, dengan Timbalan Ketua Menteri Prof Dr P. Ramasamy tidak tersenarai.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang membuat pengumuman itu memaklumkan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng akan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota dan Air Putih.

Turut akan mempertahankan kerusi masing-masing adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam kerajaan sebelum ini iaitu Zairil Khir Johari (Tanjung Bunga) dan Jagdeep Singh Deo (Datok Keramat).

Muka baharu yang diumumkan Loke adalah  Phee Syn Tze untuk DUN Sungai Puyu, Chee Yeeh Keen (Bagan Jermal), Kumaran Krishnan (Bagan Dalam), Sundarajoo Somu (Perai), Wing Yuee Harng (Pengkalan Kota), Woo Sze Zeng (Pulau Tikus) dan Tan Hooi Peng (Seri Delima).

Selain Ramasamy, antara yang turut digugurkan adalah Ketua Wanita DAP Chong Eng, lapor Bernama.

Sementara itu, penyandang Pengkalan Kota Gooi Zi Sen dan penyandang Bukit Bendera Wong Hon Wai masing-masing dicalonkan semula untuk kerusi DUN Padang Lalang dan Paya Terubong.

“Saya menyeru jentera parti untuk bersatu supaya ada kekuatan untuk berhadapan dengan sebarang cabaran serta mengekalkan 19 kerusi sebagai KPI (petunjuk prestasi utama) kita pada PRN akan datang. Misi kita adalah untuk mengekalkan sekurang-kurangnya Kerajaan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, dan sekiranya boleh, tambah satu atau dua lagi kerajaan negeri,” kata Loke dalam ucapannya.

Katanya, jika misi ini dapat dicapai, beliau yakin negara akan menjadi semakin stabil di bawah Kerajaan Perpaduan dan sekali gus menjadikan Pulau Pinang terus maju ke hadapan.

Selain calon bagi Pulau Pinang, Loke turut mengumumkan dua calon DAP yang akan bertanding bagi PRN Kedah iaitu Teh Swee Leong bagi kerusi DUN Kota Darulaman dan Tan Kok Yew (Derga).

PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan ditetapkan pada 12 Ogos dengan hari penamaan calon Sabtu ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *