PEMILIHAN semula Najwan Halimi bertanding di Kota Anggerik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor memberi gambaran Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti yang ‘cakap tidak serupa bikin’.
Ketua Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen berkata, Najwan belum dikenakan tindakan disiplin selepas mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap seorang calon PRN baru-baru ini.
“Pemimpin PKR itu membuat hantaran berkenaan dalam satu kumpulan WhatsApp susulan pengumuman Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencalonkan aktivis sosial, M. Sivaranjani untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru.
“Baru-baru ini timbul kontroversi, Najwan mengeluarkan komen berbaur perkauman dan ucapan itu menyinggung perasaan rakyat terutamanya kaum India.
“Ketika rakyat menunggu keputusan Lembaga Disiplin PKR untuk memutuskan tindakan disiplin, PKR mengumumkan pencalonan penggal kedua Najwan sebagai calon di Kota Anggerik.
“Ini memang sikap kerajaan Madani, cakap tak serupa bikin dan bersikap angkuh, tidak kira apa keluhan rakyat, kepentingan politik diutamakan dulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, perkara sedemikian tidak akan berlaku dalam gabungan parti yang bernaung di bawah Perikatan Nasional (PN).
“Kami (dalam PN) tidak akan membenarkan perkara ini berlaku apatah lagi menaikkan orang macam ini sebagai calon, ini terang-terang prejudis dan rasis terhadap kaum India,” katanya.
Ujarnya, dalam satu Kongres PKR, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah berjanji untuk mempertahankan keadilan ke atas rakyat yang ditindas dan kata beliau negara ini adalah tempat untuk semua rakyat.
“Inilah masanya untuk membuktikan tekad tersebut, bukan sekadar gimik di atas pentas sahaja.
“Memandangkan kepimpinan parti PKR ambil sikap tidak endah, sekarang keputusan itu ada di tangan pengundi,” katanya, lapor Sinar Harian.
Leave a Reply