Pemuda Pas tolak Presiden Gerakan bertanding kerusi majoriti Melayu di Tasek Gelugor

DEWAN Pemuda PAS Tasek Gelugor mendesak Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau, supaya berundur dan tidak berangan-angan bertanding di kerusi majoriti Melayu di Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Peringatan terhadap pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu dibuat menjelang pengumuman calon PN bagi PRN Pulau Pinang, malam esok.

Naib Ketua Pemudanya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar, memberi amaran jika Dominic masih berkeras bertanding di kerusi berkenaan, pihaknya bersama seluruh jentera akan menggerakkan perarakan besar-besaran calon Bebas di Telok Ayer Tawar dan Permatang Berangan pada penamaan calon, Sabtu ini., lapor Berita Harian.

“Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor bersama pengundi di Permatang Berangan dan Telok Air Tawar akan memastikan kekalahan kepada calon GERAKAN di Telok Air Tawar dan calon BERSATU di Permatang Berangan jika tuntutan ini tidak dipenuhi.

“Jangan sesekali bermain dengan api, nanti api itu sendiri akan memakan diri. Jangan cabar kesabaran Pemuda PAS!” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdapat tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tasek Gelugor, iaitu Permatang Berangan, Sungai Dua dan Telok Ayer Tawar.

PN yang dianggotai BERSATU, PAS dan GERAKAN akan mengumumkan calon mereka bagi PRN di enam negeri pada esok dan lusa.

Pada 22 Jun lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan gabungan itu sudah memuktamadkan rundingan kerusi di semua 245 kerusi DUN yang akan ditandingi, dengan BERSATU akan bertanding di 83 kerusi, manakala PAS di 126 kerusi dan GERAKAN di 36 kerusi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *