Kenyataan berbaur perkauman, akar umbi PKR tak puas hati Najwan dicalonkan

AHLI akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kota Anggerik tidak berpuas hati dengan keputusan parti mencalonkan Najwan Halimi bagi pilihan raya negeri (PRN) susulan komennya baru-baru ini yang berbaur perkauman.

Najwan mengundang kontroversi awal bulan ini selepas menyifatkan Parti Sosialis Malaysia sebagai parti India estet.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Shah Alam itu kemudian memohon maaf atas kenyataannya itu.

Seorang ahli akar umbi enggan dinamakan berkata, pencalonan Najwan memberi gambaran buruk terhadap parti itu dan mampu mengakibatkan PKR kehilangan undi masyarakat India.

“Mencalonkan seseorang yang membuat kenyataan berbaur perkauman menunjukkan parti itu tidak mempedulikan nilai teras berjuang bagi semua kaum.

“Saya sendiri berbangsa India dan terkedu apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Najwan sebagai calon,” kata sumber itu sambil menambah ramai ahli India dalam PKR tidak senang dengan pencalonan Najwan.

Anwar mempertahankan pencalonan Najwan dengan berkata, semua orang pernah melakukan kesilapan dan sebagai Presiden PKR, beliau mempunyai kuasa untuk membuat keputusan akhir.

Namun sumber itu berkata, Anwar yang juga Perdana Menteri perlu memahami justifikasi seperti itu memberi gambaran bahawa PKR tiada beza dengan Pas.

PKR sering menyelar Pas atas retorik berunsur perkauman terhadap orang Cina dan India.

“Namun kini, seseorang yang membuat kenyataan perkauman terhadap masyarakat India dibenarkan bertanding. Ini tidak dapat diterima.”

Katanya, permohonan maaf Najwan tidak bermakna dan parti sepatutnya mengambil tindakan lebih tegas dengan menghalangnya bertanding, malah menggantungnya.

Seorang lagi pemimpin PKR bersetuju parti itu tidak patut membenarkan Najwan bertanding dalam PRN, namun mengakui sukar menggugurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu.

“Mengikut pemahaman saya, Najwan dibenarkan bertanding kerana presiden melihat beliau mampu mempertahankan kerusinya,” lapor FMT.

Najwan memenangi kerusi itu pada PRU14 dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 17,004 undi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *