Salahuddin insan budiman, baik hati – Sanusi

Oleh RIZQI ZABIDI

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan arwah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai seorang yang baik dan budiman.

Menurutnya, terlalu banyak kenangan antara mereka berdua terutamanya ketika sama-sama berjuang dalam Pas ketika masing-masing masih muda.

Meskipun tidak mengalirkan air mata, Muhammad ada ketikanya kelihatan sebak ketika ditemui di lobi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebentar tadi.

“Mewakili kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga beliau. Bagi saya, Salahuddin seorang yang sangat budiman dan baik hati.

“Kami sudah berkawan lama iaitu sejak 1997 dan beliau pun pernah beberapa kali tidur di rumah saya. Kalau datang ke kawasan saya, beliau akan tidur di rumah saya.

“Hubungan kami sejak dari muda. Sama-sama naik bas dari Pudu Raya, jalan kaki menuju ke Greenwood untuk ke Markas Pas di Taman Melewar dan sama-sama tidur di pejabat. Kenangan dengan saudara Salahuddin cukup banyak,” katanya.

Tambahnya, beliau amat menghormati Salahuddin dengan kedua-dua mereka memiliki persamaan iaitu hadir dari keluarga susah.

“Bagi saya Salahuddin seorang yang ‘cool’ dan kami saling memahami kerana beliau pun bukan dari keluarga senang,” katanya.

“Kita bersimpati kepada keluarga dan kebetulan beliau sakit di Kedah. Mungkin kerana tugasan yang banyak namun kita ucap terima kasih kepada usaha beliau untuk menangani harga barang. Beliau bekerja keras untuk itu dan kita menghargai semuanya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *