Oleh RIZQI ZABIDI
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan salah seorang pegawai kanannya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Bagaimanapun menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, beliau tidak mengetahui mengenai butiran penahanan tersebut termasuk kes yang sedang disiasat.
“Saya pun hanya dimaklumkan pagi ini yang dia ditahan bagi membantu siasatan, bukan ditahan kerana bersalah. Saya tak tahu dia salah apa tetapi tak apalah, bagi siasatan selesai dulu.
“Dia pun tak maklum apa-apa, mungkin dia tak boleh nak maklumkanlah kot. Usaha-usaha itu makin hari, makin rancak nampaknya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan geran dan lesen pendudukan sementara (LPS) bagi daerah Yan di Guar Chempedak, Kedah, hari ini.
Media hari ini melaporkan mengenai penahanan pegawai kanan tersebut bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Difahamkan lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira pukul 8 malam tadi di Pejabat SPRM Alor Setar kerana didakwa meminta rasuah berjumlah RM1 juta daripada seorang pemilik syarikat. Individu ditahan itu kemudiannya direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 dan 23, Akta SPRM 2009.
SEMENTARA itu Muhammad Sanusi tidak menolak kemungkinan tangkapan tersebut ada kaitan dengan penahanan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebelum ini.
“Saya rasa macam itu sebab itu satu-satunya hasil daripada ‘brain storm’ Pakatan Harapan (PH) untuk merebahkan PN iaitu menggunakan isu REE. Tak apalah, buatlah dan kita tak ada masalah apa-apa.
“Saya relaks saja dan suruh semua yang dipanggil beri keterangan, untuk beri kerjasama. Apa yang ‘depa’ mahu, kita cerita dan kita tak ada apa nak dibimbangkan. Selama kita benar, tak ada apa yang perlu dikhuatirkan. Jangan takut, jangan gentar kerana kita bukan bangsa penunduk,” katanya.
Dengan penahanan pegawai kanan tersebut, SPRM setakat ini sudah menahan empat individu termasuk CEO MBI, pengarah syarikat dan pembantu pemilik syarikat bagi membantu siasatan kes tersebut.
Leave a Reply