Lantik Speaker bukan ADUN, syarat DAP serah kerusi Dusun Tua kepada UMNO

DAP berkata parti itu mencadangkan agar Speaker DUN Selangor dilantik dari kalangan bukan ADUN, sebagai pertukaran kerana menyerahkan kerusi DUN Dusun Tua kepada UMNO.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, mereka juga mencadangkan penyandang DUN Banting Lau Weng San sebagai calon Speaker.

“Ketika kami diminta serahkan Dusun Tua, syarat kami adalah kami cadangkan bukan ADUN sebagai speaker DUN. Dan kami cadangkan Lau (untuk jawatan itu),” katanya ketika diminta mengulas keputusan DAP untuk menyerahkan DUN Dusun Tua kepada UMNO dalam PRN akan datang.

Loke berkata demikian ketika sidang media mengumumkan calon DAP untuk PRN Selangor, di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur hari ini. Weng San tidak akan mempertahankan kerusinya dalam PRN ini.

Beliau berkata syarat itu disampaikan kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang setuju dengan perkara itu. Dusun Tua disandang oleh Edry Faizal Eddy Yusof.

Kerusi itu merangkumi 63 peratus pengundi Melayu, diikuti 28 peratus pengundi Cina, India (tujuh peratus) dan lain-lain (dua peratus).

Terdahulu, Loke berkata ada pemimpin DAP yang “kecewa” kerana terpaksa melepaskan Dusun Tua kepada UMNO tetapi mereka akan akur dengan keputusan itu.

Sementara itu, portal FMT melaporkan, Loke berkata, bekas ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah yang digugurkan DAP daripada bertanding pada PRN bulan depan dicadangkan sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang.

Ean Yong yang juga Timbalan ketua DAP Selangor menyandang kerusi DUN Seri Kembangan selama tiga penggal bermula 2008 dan pernah menjadi Exco Kerajaan Selangor.

Beliau digantikan Wong Siew Ki yang dipindahkan dari DUN Balakong.

“Beliau (Ean Yong) akan ditugaskan dalam tugasan di peringkat Persekutuan, saya telah mencadangkannya (dilantik) sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *