TIMBALAN Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan Kelantan dilihat ketinggalan kerana kemajuannya hanya dibandingkan dengan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Naib presiden Pas itu berkata kemajuan dan pembangunan Kelantan seharusnya dibandingkan dengan negeri setara dengannya seperti Pahang dan Negeri Sembilan.
“Sepatutnya Kelantan ini dibandingkan, contohnya Pahang dan Negeri Sembilan. Kalau kita banding dengan Selangor, KL dan Pulau Pinang, semua negeri ketinggalan. Kita kena faham, KL adalah ibu negara, Selangor pula dekat dengan ibu negara dan Pulau Pinang sudah lama maju. Negeri ini sudah ada kemudahan infrastruktur termasuk pelabuhan, jalan raya yang baik dan lebuh raya,” katanya pada diskusi Kelantan Maju 2028, lapor Harian Metro.
Beliau menjawab dakwaan pelbagai pihak bahawa Kelantan yang ditadbir Pas selama 33 tahun tidak maju kerana kurang pembangunan berbanding KL, Selangor dan Pulau Pinang.
Mendakwa kemajuan sesebuah negeri bukan disebabkan kerajaan memerintah, Mohd Amar merujuk Kelantan tidak maju walaupun ditadbir UMNO selama 12 tahun bermula 1978 hingga 1990.
“Sepatutnya UMNO memerintah selama 12 tahun Kelantan ini boleh ‘kejar’ Selangor dan Pulau Pinang sebab kerajaan negeri selari dengan kerajaan pusat. Kita tengok Gua Musang, masa UMNO memerintah 12 tahun setara mana (tidak) maju. Namun, hari ini daerah itu sudah ada kedai dan sebagainya kerana kita memerintah ini ada perancangan dan usaha.
“Jadi kita kena faham dan jangan komen jika tidak jelas dengan maksud dan takrif pembangunan,” katanya yang memberi contoh beberapa pembangunan di Kelantan seperti jalan raya, hospital, gedung-gedung perniagaan dan sekolah, selain lebuh raya yang sedang dibina.
Leave a Reply