KETUA Polis Negara Razarudin Husain berkata penemuan bom buatan sendiri di bahagian bawah kereta milik peguam yang juga aktivis hak asasi manusia Siti Kasim “umpama cubaan bunuh”.
Katanya, polis kini giat mengesan suspek melalui cap jari dan bukti lain berkaitan.
“Penemuan objek bom itu adalah satu jenayah serius dan ancaman terbabit umpama cubaan membunuh. Siasatan lanjut dijalankan polis kontinjen Kuala Lumpur,” katanya lapor Harian Metro
Beliau berkata, polis mengambil tindakan agresif dalam siasatan dan tidak akan membiarkan individu tidak bertanggungjawab melakukan jenayah sedemikian.
“Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berkaitan kes berkenaan yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, mengesahkan dua objek ditemui di bahagian bawah kereta Siti Kasim di pusat servis kenderaan di Jalan Maarof, Bangsar, adalah alat letupan termampat (IED).
Amihizam dilaporkan berkata, ia berdasarkan siasatan dilakukan Unit Pemusnah Bom (UPB).
Jumaat lalu, Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kassim dalam siaran langsung di Facebook mendakwa keretanya diletakkan objek menyerupai bom.
Peguam itu berkata, dia menyedari objek diletakkan di bahagian tayar ketika menghantar kenderaannya ke pusat servis pada 12 tengah hari.
Leave a Reply