‘Sebelum tidur tiap malam, saya maafkan semua musuh saya’

ALLAHYARHAM Datuk Seri Salahuddin Ayub telah membiasakan diri untuk memaafkan semua orang yang menyakitinya pada setiap malam, kata bekas Timbalannya, Sim Tze Tzin.

Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, itulah antara amalan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dalam kehidupan sehariannya.

“Sim, kamu tahu kenapa saya reda dan senang hati setiap hari?

“Setiap malam, sebelum saya tidur, saya maafkan semua musuh saya dan orang yang menyakitkan hati saya. Barulah saya tidur.

”Ini ajaran bekas bos saya, Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada saya. Beliau begitu baik hati dan peramah,” katanya pada hantaran dalam Facebook miliknya, malam ini.

Salahuddin meninggal dunia di hospital malam ini, dua hari selepas beliau dikejarkan ke hospital berikutan mengalami pendarahan otak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu kembali ke rahmatullah pada usia 61 tahun.

Sim sebelum ini merupakan timbalan Salahuddin ketika Ahllahyarham menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2018 hingga 2020.

Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, beliau sempat menziarahi bos lamanya itu di hospital petang tadi dan menangis sepanjang perjalanan pulang dari Alor Setar ke Pulau Pinang.

“My heart was broken (hati saya luluh),” katanya lagi, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *