Oleh RIZQI ZABIDI
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebentar tadi.
Berita mengenai pemergian Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu disahkan anaknya, Fatihah Salahuddin di laman media sosial, Facebook.
“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap ilahi pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya.
Semalam Salahuddin menjalani pembedahan selepas dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.
Terdahulu beliau dilaporkan mengadu tidak sihat serta mengalami muntah-muntah ketika berada di Alor Setar malam kelmarin atas urusan kerja.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPDN, Syakirin Husnal berkata, jenazah sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian.
Katanya, pihak Pejabat Menteri KPDN akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat.
“Sehubungan dengan itu, pihak keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan terhadap Allahyarham selama ini.
“Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang yang beriman,” katanya.
Leave a Reply