Datuk Khaw Kok Chin

PRN: 2,829 pegawai, anggota polis pastikan kelancaran penamaan calon Sabtu ini

SERAMAI 2,829 pegawai dan anggota polis Pulau Pinang akan bertugas pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu pada Sabtu ini, bagi memastikan perjalanan proses tersebut lancar dan aman.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua pegawai dan anggota itu akan ditugaskan di 23 pusat penamaan calon yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan tiada elemen yang boleh mencetuskan kegusaran awam berlaku.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak mematuhi peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa sepanjang proses penamaan calon itu berlangsung kelak.

Tambah Kok Chin, polis juga melantik pegawai pemantau PRN di setiap daerah bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan lancar.

“Selain itu, Ops Cantas juga telah bermula dua hari lalu dan akan berterusan sehingga selesai PRN dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

“Saya sendiri akan turun padang bersama ketua-ketua jabatan dan ketua polis daerah bagi meninjau kawasan-kawasan yang kita kenal pasti sebagai kawasan panas (hot spot) pada PRN bagi melihat persiapan serta memastikan keselamatan semua,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

Dalam pada itu, Kok Chin mengingatkan penyokong parti-parti yang bertanding mematuhi nasihat, peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh SPR serta polis sepanjang hari penamaan calon berlangsung.

Ujarnya, calon-calon yang akan bertanding juga perlu mengikuti serta mematuhi SOP ketika proses penamaan calon berlangsung.

Menurut beliau, perjalanan PRN di negeri itu akan berjalan dengan aman sekiranya semua pihak mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kita juga sedang meneliti sekiranya terdapat keperluan untuk menutup mana-mana jalan ketika proses penamaan calon berlangsung,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *