KEGIATAN satu sindiket mengedar dadah yang menjadikan sebuah rumah sebagai makmal memproses dadah jenis heroin terbongkar selepas dua lelaki ditahan Polis Pulau Pinang di negeri itu dan di Bandar Baharu, Kedah, Jumaat lalu.
Kedua-dua lelaki tempatan yang juga penganggur berusia 27 dan 30 itu ditahan dalam serbuan berasingan dalam operasi terancang bermula kira-kira pukul 10 malam Jumaat lalu dan berakhir 7 pagi semalam itu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas dadah bernilai RM135,250 serta pelbagai peralatan memproses dadah.
Jelas beliau, kedua-duanya suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan dadah serta jenayah itu ditahan di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah restoran di Simpang Ampat, Pulau Pinang.
Ujarnya, ketika pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan dinaiki suspek, polis menjumpai sebanyak 22 bungkusan heroin seberat 10 kilogram (kg) dan syabu (6.25 gram) yang kesemuanya bernilai RM135,250.
“Susulan penahanan dua suspek itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah tidak berpenghuni dipercayai menjadi makmal memproses dadah di Bandar Baharu, Kedah.
“Dadah jenis heroin ini dipercayai diproses di rumah terbabit dan dua suspek tersebut kemudian akan mengedarkannya untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.
Menurut Kok Chin, hasil risikan mendapati sindiket itu bergiat aktif memproses dan mengedar dadah sejak awal tahun ini dan mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran sebelum memprosesnya di rumah.
Katanya, polis kini sedang giat mengesan beberapa lagi ahli sindiket tersebut yang dipercayai turut mempunyai kepakaran memproses heroin yang disyaki masih berada di sekitar Pulau Pinang serta di negeri jiran.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Julai ini dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Leave a Reply