SEORANG pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik yang mengganggu Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang melahirkan kekecewaan dengan membantah pencalonan semula Najwan Halimi selepas kenyataan berbaur perkaumannya terhadap masyarakat India baru-baru ini.
Shanker Sundaram dan abangnya membantah ketika Anwar mengumumkan Najwan akan mempertahankan kawasan Kota Anggerik, sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam.
Menjawab bantahan itu, Anwar berkata, beliau berhak membuat keputusan mengenai senarai calon.
“Tak kisahlah, orang memang buat silap.
“Dengar, dengar, kedudukan parti adalah apa yang diperkatakan oleh presiden. Kami di sini untuk berkhidmat kepada Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan,” tegasnya sambil terus membaca nama calon lain.
Shanker berkata, respons Perdana Menteri menimbulkan ‘kebimbangan tentang keupayaannya menangani isu perkauman dalam partinya dan dalam kalangan calon’.
“Anwar hanya menganggap kenyataan menghina Najwan sebagai ‘kesilapan’ dan menegaskan beliau mempunyai budi bicara mutlak dalam pemilihan calon.
“Saya mengecam bahawa ini adalah kegagalan di pihak Anwar untuk menegakkan komitmennya untuk menyokong masyarakat India,” tulis Shanker beberapa jam selepas acara itu malam tadi, lapor MalaysiaNow.
Pada 13 Julai, Najwan, menjawab laporan berita mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dikongsi dalam WhatsApp PKR, mengenai: “parti India estet”.
Tangkap layar sembang itu tidak lama kemudian menjadi tular, mengundang kecaman berikutan nada perkaumannya.
Najwan, yang merupakan timbalan ketua Pemuda PKR Shah Alam, kemudiannya memohon maaf, berkata beliau jahil mengenai PSM.
Shanker berkata, kepimpinan PKR tidak seharusnya bertolak ansur terhadap komen Najwan.
“Sebagai penduduk Kota Anggerik yang sudah lama mengundi, saya amat percaya bahawa kita mesti mengambil pendirian menentang sebarang bentuk diskriminasi atau penghinaan terhadap mana-mana masyarakat.
“Adalah penting untuk menghantar mesej yang jelas bahawa kami tidak akan membenarkan kelakuan kurang sopan seperti itu daripada sesiapa, terutamanya mereka yang akan bertanding,” katanya.
Leave a Reply