Dr. Zaliha, Mohamad Sabu lawat Salahuddin

MENTERI Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa melawat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar hari ini.

Beliau dilihat hadir lebih kurang pukul 8.11 malam di pekarangan hospital disambut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Othman Warijo.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pula tiba sambil diiringi Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh pada pukul 8.50 malam.

Difahamkan, beberapa pimpinan dari Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka hadir termasuklah Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Hari ini Sinar Harian melaporkan anak perempuan kepada Salahuddin, Siti Fatihah memohon agar ruang diberikan kepada pihak keluarga sahaja untuk melawat bapanya.

Siti Fatihah berkata, perkara itu adalah atas nasihat doktor dan permintaan ahli keluarga, sekali gus menghargai segala sokongan dan doa.

Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB pukul 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Salahuddin juga telah selamat menjalani pembedahan pagi semalam dan berada dalam keadaan stabil di HSB.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *