PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat terkesan dengan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub sebentar tadi.
Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai ‘seorang sahabat yang setia’.
“Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga, dan saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat. Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi.
“Beliau dikenali kerana punyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan. Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.
“Berehatlah, sahabatku.
“Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah,” katanya dalam balas segera menerusi media sosial, lapor Malaysiakini.
Terdahulu, anak kepada Allahyarham Timbalan Presiden Amanah itu, Fatihah Salahuddin mengumumkan bapanya telah menghadap Ilahi pada pukul 9.23 malam, 23 Julai 2023.
Leave a Reply