MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil digesa untuk meletakkan jawatan serta-merta susulan aksi biadab yang dilakukan artis United Kingdom (UK), The 1975 semasa Festival Good Vibes 2023, kelmarin.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang melakukan gesaan itu menegaskan, ini kerana Fahmi terbukti tidak kompeten menjalankan tanggungjawabnya sebagai menteri.
Wan Saiful yang juga Ketua Portfolio Komunikasi dan Digital Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menegaskan, Fahmi wajib mengambil tanggungjawab atas aksi luar, lucah dan di luar tabii yang dipamerkan kepada anak muda semasa festival tersebut.
“Kerajaan juga mesti mengambil tindakan undang-undang yang keras terhadap aksi luar tabii yang dilakukan di khalayak umum.
“Jangan sekadar batalkan konsert sahaja.
“Aksi luar tabii yang dipertontonkan kepada anak muda semasa Festival Good Vibes amat jauh bertentangan dengan nilai dan budaya negara kita,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mendakwa Fahmi dijangka akan meletakkan kesalahan kepada orang lain.
Beliau mendakwa, penjawat awam dalam agensi kerajaan mungkin akan menjadi mangsa untuk dipersalahkan Fahmi.
“Menyalahkan orang lain adalah modus operandi biasa kerajaan yang tidak kompeten ini.
“Sebagai kerajaan, sepatutnya aksi sebegini dihalang daripada berlaku.
“Bukan sudah terhantuk baru terngadah tetapi kerajaan yang tidak kompeten ini gagal teruk sehingga nilai dan akhlak telah dilupakan,” katanya, lapor Utusan TV.
Media melaporkan persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya, Matt Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.
Beliau didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Sehubungan itu, Fahmi mengarahkan penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang sepatutnya berlangsung sehingga hari ini dibatalkan serta-merta.
Fahmi menegaskan, pendirian kerajaan adalah jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.
Leave a Reply