‘’Saya harap PN sapu bersih 6 negeri’’ – Dr.Mahathir

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam  tadi menyeru pengundi agar memberi kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos nanti.

Berucap pertama kali atas pentas PN di Kota Bharu, malam tadi, Dr.Mahathir berkata, PN perlu menyapu bersih dan menang di keenam-enam negeri terbabit.

“Kita akan ada PRN, ada enam buah negeri akan ada PRN. Saya harap dapat sapu bersih. Kita semua orang Mlelayu, ramai yang berkata orang Melayu berpecah dan tak mungkin bersatu, tapi malam ini dapat lihat pemimpin part-parti Melayu berkumpul di sini kerana nak memperjuangkan nasib dan masa depan negara.

“Tidak mudah kita nak serahkan kepada orang lain kerana kita juga ada kebolehan untuk mentadbir. Suatu masa dulu kita digelar ‘harimau Asia’, hari ini sudah jadi ‘kakistokrasi’,” katanya yang menyifatkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kerajaan kakistokrasi, lapor Malaysiakini.

Turut hadir pada program Malam Munajat Pakat Pertahan Pas Kelantan itu Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan barisan kepimpinan PN peringkat pusat dan negeri.

Sementara itu Dr Mahathir berkata, beliau sangat berharap orang Melayu akan keluar mengundi seramai yang mungkin bagi memberikan kemenangan buat PN di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Katanya ada sesetengah orang Melayu kini enggan keluar mengundi kerana bosan dengan percaturan politik tetapi ia perlu diatasi bagi mengelak parti lawan memenangi PRN yang dianggapnya sebagai “tidak layak” menjadi kerajaan.

“Jika kita tidak keluar, ia seperti kita memberi undi kepada mereka yang tidak layak untuk mendapat kemenangan dan mendirikan kerajaan,” katanya.

Dalam ucapan itu bekas Ahli Parlimen Langkawi tersebut turut menyatakan kegembiraan kerana berpeluang datang ke Kelantan dan menyaksikan pembangunan hebat di negeri itu, termasuk adanya bangunan “pencakar langit.”

“Saya bersyukur dapat bersama dan berada di stadium malam ini yang menunjukkan bahawa kita orang Melayu masih mempunyai kekuatan.

“Saya juga gembira kerana hari ini saya dapat datang ke Kelantan dan amat gembira kerana dapat menziarah tempat Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz (Nik Mat) dan keluarganya.

“Tokoh sudah mencipta perjuangan parti Pas dan perjuangan kebangsaan orang Melayu di negara kita ini. Saya amat gembira dapat ke Kelantan dapat lihat pembangunan di Kelantan. Bangunan pencakar langit pun sudah ada di Kota Bharu,” kata Dr.Mahathir.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *