Oleh BADLISHAH MAT
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pagi ini.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau dimaklumkan perkembangan itu oleh pengawal pengiring Salahuddin.
Katanya, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan untuk pemantauan seterusnya.
“Salahuddin selamat menjalani pembedahan pagi tadi. Beliau dimasukan ke bilik pembedahan kira-kira pukul 3.30 pagi dari wad kecemasan. Saya tidak pasti berapa lama pembedahan berlangsung tapi dimaklumkan oleh pengawal pengiring beliau sekitar 8 pagi tadi bahawa pembedahannya berjaya,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPDN, Syakirin Husnal memaklumkan Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Semalam, Salahuddin menghadiri beberapa program di negeri ini antaranya Majlis Perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara dan Langkawi Borong Edar serta Majlis Perasmian Jelajah Jualan Rahmah Kedah dan Jelajah Townhall bersama Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM).
Menurut Mahfuz, Ahli Parlimen Pulai itu dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira pukul 10 malam tadi selepas mengadu tidak sihat ketika berada di hotel penginapannya.
“Beliau sepatutnya menghadiri program ceramah dengan saya, tapi tidak dapat hadir kerana tidak sihat sebelum dikejarkan ke wad kecemasan,” katanya.
Leave a Reply