Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN
RAMAI setuju bahawa PRN enam negeri ini perlu dijadikan medan untuk rakyat menunjukkan protes di peti undi terhadap prestasi kerajaan PH-BN yang begitu lemah dalam mentadbir negara dari pelbagai sudut.
Pimpinan kerajaan perlu diingatkan bahawa rakyat pada zaman ini bukanlah dapat diperbodohkan dengan sewenang-wenangnya kerana setiap kata-kata yang dilafazkan sebelum ini masih melekat kuat dalam minda mereka.
Antaranya janji mahu menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam yang tidak terlaksana, Nyanyian hoi ya hoi oleh PH terhadap BN yang tidak lagi kedengaran kerana sudah menjadi teman mesra, formula menurunkan harga barang yang ‘hilang’ dan manipulasi penghapusan hutang peneroka Felda.
Banyak lagi jika hendak disenaraikan tapi beberapa contoh ringkas ini sahaja sudah cukup untuk menunjukkan bahawa rakyat amat tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan yang memerintah pada waktu ini. Rakyat juga melihat pimpinan kerajaan lebih banyak berpolitik berbanding bekerja dan ia dapat dilihat apabila mereka bertungkus-lumus berkempen di enam negeri sedangkan kempen sebenar yang ditetapkan SPR ialah selepas hari penamaan calon 29 Julai ini.
Siang malam mereka sibuk politik, memburukkan musuh politik dan berkempen hinggakan pentas rasmi untuk program seperti Maal Hijrah di hadapan pelajar-pelajar tahfiz pun sanggup digunakan untuk bercakap soal politik.
Bukan itu saja, jentera kerajaan turut digunakan apabila program atas nama kementerian dianjurkan di negeri-negeri telibat PRN dengan pelbagai peruntukan yang dahulunya tindakan itu dipertikaikan oleh pimpinan PH sendiri.Kempen-kempen di universiti juga giat dilakukan yang secara jelas membuktikan pimpinan kerajaan benar-benar berada dalam kebimbangan mengenai sokongan terhadap mereka terutama daripada pengundi muda.
Begitulah ketaranya sikap pimpinan kerajaan yang cukup terdesak untuk meraih undi hinggakan peranan mereka selaku anggota pentadbiran nampaknya tidak dilaksanakan dengan baik seperti mana dicanangkan ketika menjadi pembangkang. Maka, daripada prestasi semasa kerajaan untuk mengemudi negara dengan baik pun sudah ada banyak kelompongannya, maka amatlah sukar untuk rakyat melihat kemampuan kerajaan untuk menunaikan janji manifesto lalu. Jauh api dari panggang!
Oleh sebab itu ramai tertawa dan menjadikan bahan jenaka apabila Anwar Ibrahim mengatakan Malaysia kini dipandang hebat oleh negara luar sejak PH-BN memerintah negara. Kenyataan syok sendiri itu sememangnya wajar dipertikaikan kerana ia tidak seiring dengan apa yang berlaku di dalam negara sepanjang lapan bulan Anwar menjadi Perdana Menteri.
Negara luar wajar kagum dengan Malaysia sekiranya Anwar mampu pulihkan Ringgit ke tahap sama seperti Singapura, meningkatkan jumlah pelaburan secara luar biasa dalam masa singkat hingga menjadi contoh kepada negara jiran ASEAN yang lain.
Jika setakat apa yang berlaku pada waktu ini, tiada apa pun pencapaian yang dapat dibanggakan dalam dan luar negara. Atas sebab itu, rakyat perlu turun beramai-ramai pada 12 Ogos ini untuk mengundi bagi menolak calon-calon PH-BN kerana dengan berbuat demikian, satu signal kuat dapat disampaikan kepada kerajaan bahawa rakyat amat kecewa dengan tindak-tanduk kerajaan.
Mari sama-sama cipta sejarah melakukan perubahan dengan merampas Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan daripada PH dan kekalkan pemerintahan Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada Perikatan Nasional (PN).
Jangan sesekali terpedaya dengan kata-kata ataupun janji-janji pilihan raya yang diucapkan pemimpin PH-BN kerana sejarah sebelum ini telah membuktikan bahawa segalanya hanya pembohongan semata-mata.
*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi*
Leave a Reply