PEMBAHARUAN dilaksanakan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas PRU 2018 kembali merosot bawah kerajaan perpaduan, kata Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menteri Belia dan Sukan dalam kerajaan PH itu berkata, pentadbiran ketika itu yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad mencapai beberapa pembaharuan dalam tempoh lapan bulan pertama berkuasa.
“Ketika itu, pengisytiharan aset oleh anggota Jemaah Menteri sudah selesai. Hari ini, ia belum dilakukan. Masa itu, hampir semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama – bukan saja pengerusi, tetapi (juga) ahli lembaga pengarah, adalah profesional. Hari ini, mereka dikawal dan dikuasai lantikan politik bawah Umno dan juga PH,’’ katanya dalam wawancara bersama portal FMT.
Kerajaan perpaduan pimpinan PH berdepan kritikan kerana kurang pembaharuan, termasuk keengganan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan pelantikan politik.
Tetapi, pemansuhan Sosma atau melarang pelantikan politik bukan antara manifesto PH pada PRU15.
Syed Saddiq berkata, selepas PH berkuasa pada 2018, Mahathir pada mulanya mengambil alih portfolio pendidikan, tetapi dikritik ramai kerana bertentangan manifesto gabungan itu, di mana perdana menteri tidak dibenarkan memegang jawatan menteri lain, khasnya portfolio kewangan. Akibatnya, Mahathir melepaskan portfolio itu.
Tetapi kali ini, Syed Saddiq berkata, Perdana Menteri turut memegang portfolio Menteri Kewangan.
Katanya, penstrukturan semula Kementerian Wilayah Persekutuan yang kini sebuah jabatan dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) kini bawah bidang kuasa Perdana Menteri.
“Ketika itu, semuanya dipisahkan. Bahkan agensi diletak bawah kementerian berbeza supaya ada semak dan imbang sewajarnya,’’ katanya.
Leave a Reply