Gerakan Pulau Pinang persoal pemasangan poster Malaysia Madani dengan wajah Anwar

PARTI Gerakan Rakyat (Gerakan) Pulau Pinang mempersoalkan mengenai kewujudan papan iklan (billboard) Malaysia Madani yang memaparkan potret Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikesan hampir di keseluruhan kawasan di negeri itu.

Ketua Pasukan Media Sosial Gerakan Pulau Pinang, Andrew Ooi Ghee Oon berkata, pihak berkuasa berkaitan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pejabat Daerah dan Tanah perlu menjelaskan mengenai tujuan sebenar kemunculan papan iklan berwarna merah tersebut.


Jelas beliau, sekiranya papan iklan itu bertujuan sebagai propaganda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, ia tidak sepatutnya dipamerkan sebelum hari penamaan calon.

“Kita percaya jika papan iklan ini dipasang tanpa persetujuan individu yang digambarkan padanya iaitu Perdana Menteri, unit penguatkuasaan MBPP perlu mengambil tindakan segera.

”Kita juga akan membuat aduan dan bantahan kepada SPR berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini.

Menurut Andrew, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak iaitu sekitar Bukit Jambul, pihaknya mengesan sekurang-kurangnya 19 papan iklan terbabit telah dinaikkan.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada Anwar menyedari mengenai papan iklan terbabit yang secara jelas memaparkan potret beliau.

Jelasnya, pada April lalu, Anwar telah mengarahkan pemasangan papan iklan baharu yang memaparkan wajahnya dan Malaysia Madani yang menggunakan peruntukan kerajaan dihentikan serta-merta.

“Ketika itu, Anwar tidak setuju papan iklan ‘Malaysia Madani’ dan potretnya digunakan pada papan iklan selain menyatakan dana yang digunakan untuk papan iklan tersebut boleh digunakan dengan cara yang lebih baik.

“Jadi, keadaan sekarang jelas bertentangan dengan kenyataan dan arahan Perdana Menteri sebelum ini,” katanya.

Dalam masa sama, tambah Andrew, Gerakan juga meminta pihak bertanggungjawab mendedahkan organisasi yang mendirikan papan iklan itu serta bilangan keseluruhan yang telah dinaikkan di seluruh Pulau Pinang.

“Mereka juga perlu menjawab adakah kesemuanya telah mendapat kelulusan rasmi untuk pemasangan?” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *