DAP  akui terkilan kerusi DUN Dusun Tua diberi kepada BN

DAP mengakui sedikit terkilan keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua yang disandang parti itu kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos depan.

Memetik laporan sebuah portal, Setiausaha Agung parti DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun pihaknya perlu akur dengan keputusan tersebut kerana telah dimuktamadkan.

Tambah Menteri Pengangkutan itu, beliau akan bincangkan perkara tersebut dalam Majlis Presiden PH pada Isnin ini.

“Mungkin ada syarat pertukaran yang akan diletakkan dan sebagainya. Tapi kita tidak puas hati, pimpinan parti dan akar umbi rasa terkilan dengan keputusan tersebut,” jelasnya.

Pada Jumaat, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu hanya bertanding di 12 kerusi DUN Selangor bagi menghadapi PRN pada 12 Ogos depan.

Untuk calon DUN Dusun Tua, BN mempertaruhkan Datuk Johan Abd Aziz manakala DUN Gombak Setia pula, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerusi DUN Dusun Tua dimenangi oleh Edry Faizal Eddy Yusof dari DAP memperoleh majoriti undi sebanyak 10,422 ketika menentang Mohd Zin (BN) dan Razaly Hassan (Pas).

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dengan kedudukan terkini kerusi sebelum pembubaran ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Parti Amanah Negara – enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (dua), manakala Pas, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Menurut Anthony Loke, DUN Dusun Tua adalah antara kerusi dalam rundingan PH dan BN untuk PRN di Selangor namun pihaknya tidak memberi sebarang keputusan bagi menyerahkan kerusi tersebut.

“Itu antara kerusi yang deadlocked maksudnya kita tiada keputusan tapi memang kita tidak berikan tapi akhirnya keputusan muktamad diserahkan oleh kepada Pengerusi PH dan Pengerusi BN untuk diputuskan.

“Datuk Seri Anwar telahpun menyerahkan dua kerusi di Selangor kepada pihak BN menjadikan jumlah kerusi BN bertanding di negeri itu adalah 12 kerusi iaitu DUN Dusun Tua yang disandang DAP dan Gombak Setia, disandang PKR,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *