Baddrol Bakhtiar berazam pertahan Sanusi terus pimpin Kedah

Oleh RIZQI ZABIDI

PENGHIJRAHAN bekas pemain bola sepak kebangsaan, Baddrol Bakhtiar dari atas padang ke arena politik membawa misi yang amat penting untuk beliau iaitu mahu mempertahankan kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Bekas Ketua pasukan bola sepak Kedah dan Sabah itu berkata, keputusan untuk terjun ke bidang politik juga adalah bagi memperjuangkan agama serta bangsa.

Baddrol yang kini berusia 35 tahun berkata, penghijrahan daripada seorang pemain bola sepak profesional ke dunia politik itu juga hadir daripada hatinya bersempena sambutan Maal Hijrah tahun ini.

“Pertamanya saya ingin perjuangkan agama serta bangsa. Saya juga ingin pertahankan individu yang orang dok serang sekarang ini dan beliau juga tenang bertahan iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. Itu sebab saya terhutang hati untuk perjuangkan Muhammad Sanusi dan pertahankan negeri Kedah ini di bawah beliau,” katanya ketika berucap dalam Program Sembang Santai Geng Muda di Kampung Lubuk Perong, Padang Terap, malam tadi.

Program yang dihadiri ramai anak muda itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd. Radzi Md. Amin dan seorang lagi legenda bola sepak Kedah, Muhammad Radhi Mat Din.

Baddrol dan Muhammad Radhi ketika ini disebut-sebut antara calon yang akan diketengahkan Perikatan Nasional (PN) di dua kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tidak lama lagi.

Muhammad Radhi sebelum ini pernah bertanding mewakili Pas di Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun tewas kepada penyandang ketika itu, Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu, Baddrol berkata, keputusan dibuatnya diakui di luar jangkaan dan perkara itu dapat dilihat melalui kesedihan yang tergambar pada malam terakhir beraksi bersama Sabah FC ketika mereka menewaskan Sri Pahang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu Sabtu lalu.

“Sebab itu malam terakhir saya di Sabah ketika bersama Rizal Ghazali (rakan sepasukan sejak di Kedah), tak boleh tahan. Malah dia pun tanya, betulkah mu (kamu) nak tinggalkan aku dalam loghat Balingnya. Saya minta maaf pada Rizal dan katakan mungkin sampai di sini sahaja perjuangan saya dalam bola sepak,” katanya.

Menjawab soalan hadirin sama ada beliau akan dicalonkan untuk bertanding dalam PRN, Baddrol berkata beliau percaya kepada takdir tuhan.

“Kalau kita ikhlas, jujur dalam perjuangan atau bidang diceburi, insya-Allah tuhan bantu. Malam ini saya terharu dengan anak-anak muda yang hadir dan rasa teruja serta lebih bersemangat untuk perjuangkan apa yang saya impikan selama ini. Saya juga menyeru penduduk kampung di sini supaya memilih pemimpin yang ada sifat kepimpinan dan mendengar keluhan rakyat selama ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *