BERSEMPENA sambutan Maal Hijrah 1445, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengimbau perjuangan Nabi Muhammad SAW menegakkan negara Madinah yang ditukarkan daripada nama asalnya Yathrib atau Taibah.
Ahli parlimen Marang itu turut membandingkan perbandingan konsep madani oleh Rasulullah SAW dengan Malaysia Madani yang dibawa Pakatan Harapan (PH).
“Maka, tidak sepatutnya berlaku sepertimana peristiwa orang yang baru sahaja dituduh dan belum nyata kesalahannya, namun terpaksa ditangkap dan diburu pada jam tiga pagi.
“Apa yang ada pada mereka hanyalah jenama sahaja bagi menarik sokongan rakyat, dalam keadaan mereka bersifat menipu, berbohong dan lain-lain, serta bersifat seperti binatang sesumpah yang boleh berubah-ubah warnanya bagi menggoda rakyat yang sentiasa ditipu dan dizalimi.
“Kerjanya hanyalah mencari keredaan manusia, malah sokongannya bukan ikhlas kerana Allah SWT,” katanya pada kenyataan yang terbit di Harakahdaily hari ini.
Walaupun tidak menyebut nama, Presiden Pas itu dipercayai mengulas kejadian penangkapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor.
Sanusi ditahan di sebuah pangsapuri sewa di Kuala Lumpur pada pagi Selasa 18 Julai lalu sekitar pukul 3 pagi dan didakwa di mahkamah kerana membuat kenyataan berbaur hasutan kira-kira lima jam kemudian.
Sementara itu, Abdul Hadi juga mengingatkan bahawa amal kebajikan yang besar dapat dilakukan melalui negara bermasyarakat madani yang berpandukan al-Quran.
“Bukan madani pada jenama sahaja, yang bergelumang dengan penipuan, mungkir janji, kezaliman, rasuah, maksiat dan berbagai-bagai salah laku,” dakwanya lagi.
Sambutan Maal Hjrah 1445 (2023) peringkat kebangsaan pada tahun ini bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.
Leave a Reply