Saifuddin minta saya batal pemilihan PKR – Hamzah

Oleh BADLISHAH MAT

DATUK Seri Hamzah Zainudin mendedahkan bahawa beliau dikunjungi Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail seminggu selepas Setiausaha Agung PKR itu tewas pada pemilihan jawatan Timbalan Presiden partinya pada 2022.

Hamzah yang ketika itu Menteri Dalam Negeri berkata, Saifuddin ada membawa surat dan merayu kepadanya untuk membatalkan keputusan tersebut setelah kalah kepada Rafizi Ramli.

“Saya nak habaq (beritahu) depa (mereka) ini PKR lawan sesama depa, Rafizi lawan Saifuddin dan yang menang Rafizi jadi Timbalan Presiden PKR.

“Tak sampai seminggu, jangan lupa lepas seminggu hang (Saifuddin) dah kalah, hang mari jumpa hang habaq (bawa) surat tolong batal pemilihan PKR, surat ada kat saya jangan dok main,” katanya ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana di Sik, malam tadi.

Saifuddin kembali dilantik sebagai Setiausaha Agung PKR pada tahun lalu setelah beliau gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden parti itu daripada Rafizi yang kembali ke arena politik.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan Hamzah menyifatkan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada pukul 3 pagi tidak bertamadun kerana bertentangan dengan konsep Malaysia Madani.

“Tamadun apa pi tangkap 3 pagi, sepatutnya habaq, Datuk Seri (Muhammad Sanusi) kami nak jumpa sat saja, saya dulu bekas Menteri Dalam Negeri, saya baik.

“Jangan dok main, la ni saya nak kata kerana adik saya (Muhammad Sanusi) ditangkap 3 pagi, lawan tetap lawan, itulah perjuangan kita yang sama yang adil,” kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu.

Hamzah berkata, dasar gabungan tersebut amat jelas iaitu akan terus memelihara dan mempertahankan institusi diraja.

“Sanusi tidak kacau institusi diraja, yang dia kacau cuma Saifuddin, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan Rafizi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *