Norsabrina reda tak dipilih pertahan DUN Bandar Baharu

Oleh RIZQI ZABIDI

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd. Noor sah tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menurut Norsabrina, beliau sedia maklum yang namanya tidak dicalonkan di mana-mana kerusi Barisan Nasional (BN) untuk kali ini.

“Saya sedar, amat sukar keputusan ini dibuat oleh pimpinan lebih-lebih lagi dalam keadaan UMNO perlu ‘struggle battle’ serta ‘Do or Die’. Maka saya menganggap keputusan ini adalah suatu pilihan di antara beberapa strategi bagi BN dan Pakatan Harapan memenangi PRN,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini Norsabrina pernah memegang jawatan exco di bawah dua Menteri Besar yang mewakili BN iaitu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah. Beliau telah dua penggal menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut Norsabrina berkata, beliau menerima seikhlasnya keputusan itu dan percaya terdapat hikmah lebih besar diperoleh memandangkan tunjang berorganisasi adalah taat dan walak kepada pimpinan.

“Walau bagaimanapun PRN kali ini parti memiliki tugas paling mencabar iaitu menguasai 55 peratus pengundi Kedah dalam kalangan anak muda yang berumur 40 tahun ke bawah. Perspektif dan naratif yang perlu dibawa mesti selari bersama kewibawaan UMNO Kedah terutamanya calon yang bakal ditonjolkan nanti.

“Saya mengajak semua sahabat setia bersama perjuangan. Kita teruskanlah selekoh terakhir ini dengan tekad demi agama, bangsa dan negara agar kejayaan mampu dimiliki BN dan PH dalam PRN kali ini. Perancangan manusia hebat tetapi perancangan Allah juga yang terbaik. Manusia membuat pilihan, Allah mentakdirkan. Saya reda atas ketentuan ini dan akan meneruskan perjuangan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *