SEBANYAK 2,505 unit barangan tiruan bernilai RM250,000 dirampas di sembilan premis melibatkan enam stor serta tiga gerai di Jalan Petaling menerusi Ops PUTRA 3.0 yang dijalankan Selasa lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, dalam serbuan tersebut, dua lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan pemilik premis turut ditahan.
Katanya, kesemua barangan tiruan berkenaan dipercayai diperoleh dari negara asing dan bagi jualan kepada pelancong yang datang ke Jalan Petaling.
“Kesemua barangan yang disita ini adalah barangan tiruan yang berkualiti tinggi dan harga jualan bermula pada harga RM400 sehingga RM4,000 bagi seunit termasuk jam tangan, beg tangan, dompet, gelang serta cincin,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barangan bagi kesalahan pertama dan RM30,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan kedua serta berikutnya.
Ariffin berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang harta intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 secara berterusan dalam membanteras penjualan barangan tiruan.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 79 kes harta intelek dengan nilai rampasan berjumlah RM2.5 juta melibatkan sitaan 48,500 unit barangan dibuat di ibu negara setakat ini.
“Jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji 4.0 bagi tahun 2023 adalah 19 orang melibatkan kesalahan berkaitan harta intelek,” katanya, lapor Utusan TV.
Leave a Reply