Identiti 9 kru kapal kargo hilang dikenal pasti

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) sembilan kru MV Tung Sung yang hilang selepas kapal kargo itu terbalik di perairan Sebuyau, semalam, diteruskan pagi ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, operasi bermula pada 8 pagi dengan pencarian tertumpu di sekitar Pulau Burung hingga Tanjung Po.

“Identiti semua sembilan kru kapal itu sudah dikenal pasti dan kesemua mereka berumur antara 20 hingga 52 tahun.

“Mereka terdiri daripada empat warga tempatan iaitu Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu, Maxwell Billy Stimba, Stimba Chuit.

“Empat lagi adalah warga Myanmar adalah That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo, manakala seorang warga Indonesia bernama Lido Ali Purwanto,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

APMM menerima laporan berkaitan kehilangan kapal membawa muatan batu kelikir itu pada 9.40 pagi semalam selepas pihak pengurusan syarikat kapal terbabit gagal mengesan dan menghubungi kru.

Ketika kejadian, kapal terbabit membawa muatan batu kerikil dari Kuching menuju ke Sarikei.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *