Hamzah dakwa Zahid tawar perjanjian dengan syarat kesnya selesai

SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin membandingkan persetujuan yang menurutnya ditawarkan Barisan Nasional (BN) kepada mereka selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 2020 dengan persetujuan yang didakwa dicapai antara Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi PH Anwar Ibrahim selepas PRU15.

Menurut Hamzah, persetujuan asal antara PN dan BN yang ketika itu masih bekerjasama adalah Datuk Hajiji Noor menjadi Ketua Menteri Sabah namun beliau mendakwa Zahid mengubah fikiran di saat akhir.

“Zahid tiba-tiba ubah fikiran dan kata mahu Bung Moktar Radin jadi Ketua Menteri Sabah.

“Kawan saya telefon ketika subuh (sehari selepas keputusan PRN Sabah diumumkan) dan kata ‘brother, boleh selesaikan dengan satu syarat. selesaikan kes presiden UMNO.

“Jadi perjanjian diadakan antara Anwar dan Zahid (selepas PRU15) kerana Zahid mahu kes dia diselesaikan,” dakwa Hamzah dalam satu program di Sik malam tadi untuk menunjukkan sokongan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dihadapkan dengan dua tuduhan menghasut minggu ini.

Hajiji akhirnya tetap dilantik sebagai Ketua Menteri manakala Bung menjadi timbalannya.

Dengan tiada gabungan politik mendapat majoriti mudah dalam PRU15, ada persaingan pihak mana yang dapat memeterai persetujuan untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Sementara BN pada mulanya dilihat cenderung untuk menyokong PN, gabungan itu akhirnya menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, beliau baru-baru ini bertemu dengan kedua-dua Presiden MCA dan MIC, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Tan Sri S.A. Vigneswaran, dan bertanya berkenaan sokongan BN kepada Anwar.

“Saya nak beritahu, depa kata tidak pernah ada keputusan BN menyokong Anwar seperti (dinyatakan) surat yang dihantar kepada Raja-raja Melayu.

“Kalau depa tipu saya (berkenaan perkara ini), (maka) saya tipu,” katanya, lapor Malaysiakini.

Namun, katanya lagi, PN sentiasa menjunjung dan mempertahankan institusi diraja dan maka mereka menghormati keputusan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri.

Atas dasar itu juga Sanusi tidak pernah menghina institusi diraja, katanya lagi.

“(Pihak) yang dia nak kacau adalah Anwar, (Setiausaha Agung PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan (Timbalan Presiden PKR) Rafizi Ramli. Mereka yang kita nak kacau,” katanya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *