‘Bas’ dipandu Anwar sedang melilau

Oleh BADLISHAH MAT

KERAJAAN Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diibaratkan seperti bas yang sedang terhuyung-hayang dan bakal menjunam ke dalam gaung sekiranya tidak disedarkan dengan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, PN tidak perlu menunggu lama untuk mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan sekiranya menang di kesemua enam negeri itu ekoran tindak-tanduk Perdana Menteri ketika ini.

“Mari drebar (Perdana Menteri) baru nama Anwar Ibrahim walaupun dia drebar bas tapi dia buas, suka duduk belakang. Biasa yang naik bas duk belakang ni budak-budak buas, bawa marka dok belakang, hat tuang sekolah duk belakang, hat isap rokok duk belakang.

“Anwar ni walaupun dia tua umur 76 tahun, tapi dok berasa dia muda pi belakang (menggayakan tarian Anwar bersama mahasiswa). Drebar ni kena duk depan pegang stereng, sebelah kaki duk atas minyak sebelah (tangan) lagi dok kepala gear.

“La ni drebar tak tau pi mana, melilau-lilau bas kita, tapi dia salahkan orang lain. Salahkan PN, salahkan Sanusi padahal bas kita nak terjun gaung, ringgit jatuh, barang harga naik, (getah) sekerap tak naik harga dan pelabur lari. Negara sedang merudum sebab tindak tanduk Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana di Sik, malam tadi.

Kata Menteri Besar Kedah itu, rakyat hanya akan terselamat daripada kesusahan yang menimpa mereka sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ditunjukkan jalan keluar secepat mungkin.

“Sebelum bas jatuh gaung sebab drebar dia selerak merata, Perdana Menteri berjalan rata, kena bagi drebar tersedar yang kerjanya adalah dok depan, pegang stereng molek (elok-elok), tekan (pedal) minyak tekan (pedal) brek, kalau (menuju) gaung tekan brek bukan tekan minyak.

“Enam negeri PRN kena bagi PN menang untuk selamatkan rakyat atas bas. Anwar kita lempar ikut pintu kecemasan (bas),” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau akan terus kental berhadapan cabaran mahupun serangan peribadi dan akan terus berjuang mempertahankan kebenaran.

“Sanusi lebih nakal daripada itu, toksah dok lawan la Sanusi, kalau nak saman Sanusi untuk berhenti daripada menjadi budak nakal Sanusi tak akan berhenti kerana Sanusi dilahirkan untuk melawan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *