RAMAI pemerhati politik berpandangan sokongan pengundi dalam kalangan ‘anak muda’ sebenarnya tidak konsisten, dengan kebanyakan mereka tidak setia berpegang teguh pada satu logo semata-mata.
Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berpendapat walaupun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lepas majoriti anak muda khususnya di Terengganu memberi sokongan kepada PAS, namun ia (undi) bukanlah diperoleh berlandaskan kepada kesetiaan terhadap parti, tapi lebih kepada situasi atau trend semasa.
“Ia (undi) boleh berubah dalam Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) akan datang… mana-mana (parti) yang paling bijak ‘merawat’ perspektif mereka, maka mereka akan meraih sokongan pengundi muda ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata hakikatnya pengundi muda ‘terjebak’ sebagai pemilih dalam keadaan tidak bersedia, kurang pengetahuan dan tidak mempunyai pemahaman yang jelas terhadap sistem pilihan raya yang juga komponen terpenting dalam sebuah negara demokrasi.
“Di peringkat sekolah rendah, mereka tidak didedahkan dengan pengetahuan dan kefahaman terhadap politik dan pilihan raya. Masuk sekolah menengah pun tak sentuh apa-apa kecuali pelajaran Sejarah ada sikit-sikit, cuma sebahagian kecil saja (sentuh politik).
“Selepas habis sekolah menengah sudah perlu mengundi… buat keputusan penting untuk negara,” kata Mohd Yusri.
Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kumpulan pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun bagi PRN kali ini paling ramai ialah di Selangor sebanyak 274,194 orang, diikuti Kedah (104,284), Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264), dan Negeri Sembilan (55,017).
Sementara itu, veteran politik yang juga bapa saudara kepada Sultan Terengganu, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah pula berpendapat individu berumur 18 tahun sewajarnya sudah mampu berfikir secara matang dan bijak membuat penilaian terhadap sesuatu perkara.
“Anak-anak muda ini tidak masuk parti… tapi di mana ada isu panas, ke situlah mereka akan pergi, tapi sebelum mengundi mereka perlu fikir dahulu sedalamnya kerana setiap satu undi mereka amat mustahak kepada negeri dan negara.
“Mereka perlu berhati-hati menilai dan buatlah kajian sebelum memilih (mengundi),” katanya.
Meninjau pandangan pengundi muda di negeri ini, rata-rata tidak memberi gambaran bahawa mereka memihak terhadap sesuatu parti, sebaliknya ‘selera’ mereka bergantung kepada kriteria-kriteria calon serta tawaran yang akan diketengahkan oleh bakal wakil rakyat itu nanti.
Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Terengganu, Aqilah Talib, 20, berkata dia mahukan calon berwibawa yang tampil dengan manifesto realistik dan bukan ‘tin kosong’.
“Setiap manifesto perlulah dikotakan, bukan saja-saja dibuat untuk mengaburi pengundi… wakil rakyat mestilah pentingkan kebajikan rakyat,” katanya yang berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang.
Seorang pelajar diploma di sebuah institusi pengajian awam, Muhammad Azran Imran, 19, pula berkata dia akan melihat pada calon yang tampak berwawasan dan progresif dalam mengutarakan sesuatu isu, tidak kira apa latar belakang politiknya.
“Saya juga lebih sukakan calon yang muda, tapi ada sifat kepimpinan yang tinggi, itu lebih menarik berbanding calon-calon lama yang ‘dikitar semula’,” katanya.
Leave a Reply