SEORANG peguam mempersoalkan mengapa pihak berkuasa sehingga hari ini masih belum mendakwa Lim Guan Eng ke muka pengadilan berhubung ucapan berbaur perkauman yang didedahkan media sebelum ini.
Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali membandingkan tempoh masa yang diambil oleh pihak polis dalam kes Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan Guan Eng yang sehingga hari ini masih tidak didakwa.
Beliau merujuk kepada kes siasatan Pengerusi DAP itu berhubung ucapannya yang menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja) dalam satu majlis di Jelutong, Pulau Pinang 7 Julai lalu.
Beliau berkata, proses siasatan yang laju dan tidak lembab wajar dipuji dan sepatutnya dijalankan oleh pihak polis terutamanya kes Sanusi hanya perlu dinilai melalui kata-kata dalam ucapannya sama ada wujud elemen hasutan sebelum dibawa ke peringkat pertuduhan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, sekiranya itulah proses siasatan yang dikenakan terhadap Sanusi ianya juga sepatutnya menjadi proses yang sama dikenakan terhadap mana-mana siasatan melibatkan ahli-ahli politik dalam anggota kerajaan campuran pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Yang mengkritik dan menggunakan 3R juga harus dikenakan tindakan yang sama juga. Kalaulah telah pun dipanggil dalam masa empat hari selepas itu pun dituduh.
“Maka, Lim pun samalah,” katanya dipetik laporan MalaysiaNow.
Semalam, Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan kerana membuat kenyataan berbaur hasutan mengenai pelantikan rakan sejawatnya di Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika berucap dalam ceramah politik.
Beliau didakwa hanya selepas empat hari hadir memberi keterangan dan rakaman percakapan kepada pihak polis.
Sanusi turut didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan berhubung penubuhan kerajaan campuran.
Bercakap lebih lanjut, Rafique berkata perbezaan itu seolah-olah memberi bayangan terdapat layanan yang tidak sama dalam kedua-dua siasatan terhadap ahli-ahli politik tersebut.
Perkembangan ini lebih jelas apabila seseorang yang berada dalam blok pembangkang menerima ‘kelajuan’ yang lebih cepat berbanding pemimpin yang berada dalam blok kerajaan.
Selepas pendakwaan terhadap Sanusi, Rafique turut membangkitkan persoalan mengenai keazaman PH yang selama ini dilihat aktif memperjuangkan pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan sering kali menggelar akta itu sebagai satu akta yang sudah lapuk.
Namun kini, selepas berjaya membentuk kerajaan baru di Putrajaya, PH dilihat masih bergantung dengan pendakwaan terhadap musuh politik mereka menggunakan akta tersebut.
Katanya, terdapat beberapa seksyen dalam undang-undang yang membenarkan pertuduhan meskipun melibatkan sensitiviti kesultanan dan diraja tanpa perlu menggunakan Akta Hasutan.
Contohnya, Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan mengenai kesalahan atau jenayah fitnah dan jika sabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 500 yang membawa hukuman penjara sehingga dia tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Jadi, tak perlulah nak gunakan undang-undang lapuk macam Akta Hasutan 1948 yang mereka sendiri kata akan hapuskan dan mansuhkan.”
Mengulas lanjut, Rafique juga menyedari perkembangan terbaru dalam kalangan penyokong kerajaan campuran di mana mereka juga dilihat seolah-olah meraikan penggunaan Akta Hasutan setiap kali melibatkan siasatan terhadap pemimpin pembangkang.
Leave a Reply