PAS menyelar tindakan pengguna media sosial menggunakan nama ‘Ismadi Ayob’ yang memuat naik hantaran di Facebook memfitnah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan membawa imej Perikatan Nasional (PN).
Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, hantaran tersebut dibuat menggunakan identiti palsu selain kenyataan kononnya menyokong kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Hantaran tersebut adalah palsu dan mendakwa ada pihak yang ingin memburuk-burukkan imej Pas.
“Jawablah dengan hujah, bukan dengan fitnah. Jangan biarkan kamu dan anak isteri kamu makan dengan upahan fitnah.
“Kerja kamu dan orang yang sewaktu dengan kamu adalah paling hina atas dunia ini. Mungkin kami ada kelemahan sebagai manusia biasa, maka kamu boleh kritik kembali dengan fakta bukan auta,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook hari ini.
Beliau turut meminta penyokong Pas dan PN untuk memantau atau melaporkan pengguna media sosial yang menggunakan akaun palsu dengan niat cuba mencemarkan nama baik parti kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Dakwanya lagi, terdapat banyak akaun palsu yang kononnya mengaku sebagai ahli atau mewakili Pas, namun hakikatnya mengambil upah semata-mata untuk menabur fitnah di media sosial.
“Banyak (akaun palsu) yang kita akan temui, dan semakin galak bertebaran terutama menjelang pilihan raya negeri (PRN) nanti.
“Jangan lupa doa kepada Allah supaya memberi pembalasan yang setimpal ke atas kelakuan jahat ini,” ujarnya, lapor Sinar Harian.
Leave a Reply