PENYAMPAI radio, Ismahalil Hamzah, 50, yang dibebaskan Mahkamah Tinggi, kelmarin bertemu ibunya, Salbiah Mat Noor, 88, di kampungnya di Sepang, Selangor, hari ini.
Pertemuan menyayat hati dua beranak itu turut dikongsikan dalam akaun Facebook isteri Ismahalil, Nor Haslinda Abd Manaf, 48, memaparkan Ismahalil dan ibunya saling berpelukan erat bagi melepas kerinduan yang sarat dengan linangan air mata mengalir tanpa henti.
Lebih memilukan lagi, suasana sedih dan hiba itu amat dirasai dengan latar lagu Air Mata Ibu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mana bait liriknya cukup membawa maksud mendalam dan begitu terkesan.
Nor Haslinda dalam catatannya, mengucap syukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada barisan peguam yang berjuang membantu suaminya sehingga berjaya dibebaskan oleh mahkamah pada Isnin lalu.
“Terima kasih Allah atas peluang ini. Terima kasih kepada peguam dan ‘team’ (pasukan) yang lain kerana pulangkan anak ini bertemu ibunya. Terima kasih keluarga, kawan-kawan yang sentiasa membantu dan memberi kata semangat.
“Terima kasih untuk diri sendiri juga kerana dapat harungi dugaan ini. Selamat menyambut Maal Hijrah,” tulisnya pada kapsyen video berserta dengan tanda pagar, #tahunbarubukubaru, lapor Berita Harian.
Selepas dibebaskan Mahkamah Tinggi, kelmarin, Ismahalil yang ditemui media berkata, dia mahu mengotakan janji kepada arwah bapanya untuk menjaga ibu tercinta yang kini kurang sihat dan menetap di Sepang.
“Perkara pertama yang ingin saya lakukan selepas dibebaskan adalah berjumpa emak di kampung yang kini sakit dan kurang sihat.
“Saya nak balik kampung untuk jumpa emak. Saya ingin menjaganya (emak) kerana sudah berjanji pada arwah ayah. Lagipun, sudah dua tahun saya tak jumpa emak,” katanya.
Sebelum ini, Ismahalil berdepan pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram, dua tahun lalu dan keputusan pembebasan dibacakan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, kelmarin.
Pada 21 Februari lalu, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di Kuala Lumpur, pada pukul 5.35 petang 27 Ogos 2021.
Terdahulu, Ismahalil didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan.
Leave a Reply