DUA pemimpin DAP setuju dengan penilaian veteran parti tersebut, Ronnie Liu bahawa DAP sudah tersasar daripada cita-cita yang pernah diperjuangkan, sambil menambah ia boleh menjejaskan sokongan pengundi.
Pada Isnin, Liu, yang keluar DAP bulan lalu berkata, pemimpin tertentu seolah-olah melupakan nilai teras parti dan berisiko mengubahnya menjadi ‘satu lagi MCA’.
Dua pemimpin yang enggan namanya didedahkan, bersetuju dengan Liu bahawa segelintir rakan mereka mula melupakan cita-cita parti yang lama dipegang sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Seorang daripada mereka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkata, jika kepimpinan terus ‘meninggalkan’ cita-cita itu, beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
ADUN berkenaan menuduh kepimpinan tunduk kepada ‘setiap tuntutan’ dan tidak membuat pendirian sendiri, ‘supaya DAP boleh kekal berkuasa’.
“Sesetengah keputusan dirasakan seperti bertentangan dengan identiti kita sendiri sebagai sebuah parti,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, kepimpinan Pakatan Harapan (PH) cenderung lebih bersimpati dengan tuntutan Barisan Nasional (BN) berbanding parti komponen sendiri.
ADUN tersebut juga merasakan DAP dipergunakan untuk meraih undi Cina bagi kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, ramai yang bersetuju dengan kenyataan Tony Pua mengenai UMNO, tetapi kecewa parti berkenaan tidak menyokong bekas Ahli Parlimen Damansara itu.
Pada majlis makan malam kutipan dana DAP bulan lalu, Pua berkata, penyokong PH mesti membuktikan ‘parti berbilang kaum yang bersih dan tidak rasuah’ boleh melakukan lebih baik daripada gabungan dan parti yang ‘rasuah’ seperti BN, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sementara itu, seorang lagi pemimpin DAP berkata, parti tersebut boleh bertukar menjadi ‘satu lagi UMNO’ jika ia ‘terus melakukan apa yang mereka lakukan sekarang’.
“Jika ini berterusan, kita bukan sahaja tidak relevan seperti MCA tetapi juga akan mula mempunyai banyak kem dalam parti seperti UMNO,” kata bekas Ahli Parlimen itu.
Beliau berkata ini boleh menjejaskan sokongan kepada parti pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Peluang pengundi Cina menyokong Perikatan Nasional adalah tipis, tetapi kemungkinan ramai yang tidak akan keluar mengundi,” katanya.
“Ini kerana antara perkara utama yang kita beritahu pengundi pada PRU15 ialah kita menolak rasuah dan pemimpin yang korup, termasuk daripada BN,” ujarnya.
Leave a Reply