Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
POLIS memaklumkan punca kematian dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar di Kawasan Rawat dan Rehat (RnR) Yong Peng, dekat Batu Pahat malam tadi adalah kerana tidur terlalu lama dengan penghawa dingin kereta dibuka.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa berusia 23 hingga 27 dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Taman Air Biru, Pasir Gudang.
“Kereta Perodua Alza yang digunakan dipinjam dari seorang rakan di Johor Bahru dan dipercayai telah berhenti rehat seterusnya tidur dalam kereta di tempat kejadian.
“Hasil temubual beberapa saksi, kereta mangsa didapati telah diletakkan dalam tempoh masa agak lama di RnR berkenaan.
“Mangsa didapati tidak bergerak namun enjin kereta dihidupkan manakala tingkap tertutup rapat serta pintu dalam keadaan berkunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, apabila semua mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas selepas orang awam mengetuk cermin tingkap dan memanggil dari luar, mereka kemudiannya terpaksa memecahkan cermin tingkap di bahagian pemandu untuk membuka pintu kereta dan memberi bantuan.
“Selepas pintu berjaya dibuka didapati kesemua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tidak memberikan sebarang tindak balas.
Menurutnya, selepas pemeriksaan daripada pasukan perubatan mendapati ketiga-tiga mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Siasatan Mati Mengejut (SDR), katanya.
Leave a Reply