Tindakan ke atas Muhammad Sanusi merupakan pendakwaan terpilih

Oleh RIZQI ZABIDI

PAS Kedah menyifatkan tindakan mahkamah terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor merupakan satu bentuk pendakwaan terpilih di bawah pemerintahan ala diktator kerajaan Madani.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya kekal dengan prinsip mempertahankan Muhammad Sanusi dan yakin bahawa pendakwaan itu merupakan proses bagi membersihkan nama baik Menteri Besar itu yang menjadi sasaran politik kotor oleh sebahagian pihak berkepentingan.

“PAS Kedah ingin bertegas bahawa apa yang sedang berlaku ini adalah pendakwaan terpilih yang dilakukan di bawah Kerajaan Madani ala diktator sedangkan beberapa tokoh parti PH dan BN sendiri pernah menghina Sultan dengan tohmahan yang lebih dahsyat.

“Malangnya, hari ini mereka masih bebas bersuara. Kesalahan yang dilakukan itu belum terpadam daripada ingatan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, situasi politik negara kian meruncing dengan tindakan sebahagian pemimpin Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) yang tidak henti-hentik menyerang Muhammad Sanusi.

“Segala ruang dan peluang dieksploitasi semahunya bagi memastikan perjuangan Muhammad Sanusi khasnya, dan Perikatan Nasional (PN) amnya dipadam daripada pentas politik.

“Tidak cukup dengan serangan peribadi dalam isu banglo, akaun media sosial beliau disekat bahkan pelbagai siri rangkaian fitnah dicipta bagi memastikan karakter Muhammad Sanusi dibenamkan,” katanya.

Ahmad Yahaya dalam pada itu turut mempersoalkan sama ada PH dan BN benar-benar akan membawa wacana politik kotor sedemikian di sebalik pelbagai slogan kebebasan dan demokrasi yang dilaungkan sebelum ini.

“Itulah pembohongan terbesar PH BN kepada rakyat Malaysia. Suatu ketika mereka mahu menghapuskan akta-akta yang mereka anggap sebagai ‘akta zalim’ termasuklah Akta Hasutan dan hari ini akta tersebut digunakan untuk menjatuhkan lawan politik.

“Semua ini hanyalah hipokrasi perjuangan PH dan BN yang semakin luput sokongan rakyat saban hari,” katanya.

Tegasnya, PAS Kedah sentiasa mendoakan yang terbaik buat Muhammad Sanusi dan mengharapkan proses perundangan akan dilaksanakan secara adil.

Dalam masa sama katanya, PAS Kedah tekal berpegang teguh pada prinsip keadilan mengikut undang-undang serta bebas daripada sebarang cengkaman atau pengaruh politik.

“PAS Kedah mengharapkan untuk semua ahli serta penyokong PAS bertenang, tidak dipengaruhi dengan emosi dan sentiasa patuh pada undang-undang negara.

“Dalam masa yang sama, perbanyakkan doa serta munajat agar pemimpin yang kita kasihi ini, yang ikhlas dan amat bertanggungjawab kepada seluruh rakyat Kedah sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT. Semoga Muhammad Sanusi mendapat keadilan yang selayaknya sepanjang proses undang-undang dilaksanakan, insya Allah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *