Oleh BADLISHAH MAT
KEPULANGAN Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ke negeri Kedah disambut ibarat hero selepas beliau dikenakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen Selayang, pagi tadi.
Lebih 1,000 penyokong berhimpun di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim (LTSAH), di Alor Setar bagi menyambut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.
Ketibaan Muhammad Sanusi kira-kira pukul 4.30 petang disambut dengan laungan takbir serta ‘Hidup Sanusi’ selain para penyokong dan ahli Pas berebut-rebut untuk bersalam dengannya.
Selain menunggu di balai ketibaan LTSAH, terdapat penyokong yang turut memenuhi bahu jalan di sepanjang laluan ke lapangan terbang itu bagi menyatakan sokongam.
Terdahulu, Muhammad Sanusi disambut oleh isterinya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh yang hadir bersama anak-anaknya.
Beberapa kepimpinan Pas Kedah turut hadir antaranya Pesuruhjaya Pas, Datuk Ahmad Yahaya; Setiausahanya, Musoddak Ahmad dan Ketua Penerangan, Mohd. Azam Abd. Samat.
Muhammad Sanusi bagaimanapun sekadar bersalaman dengan para penyokongnya tanpa membuat sebarang ucapan.
Terdahulu di Mahkamah Sesyen Selayang, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Simpang Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara di Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu.
Dalam sidang akhbarnya selepas dituduh pagi tadi, Muhammad Sanusi berkata pendakwaan itu bermotifkan politik dan menunjukkan kerajaan berada dalam ketakutan.
Leave a Reply