KKM jalankan siasatan dalam kes kematian Dea Maisarah

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden kanak-kanak berusia 10 tahun, Dea Maisarah Bada Hussein, 10, yang didakwa akibat kecuaian pihak hospital di Selangor, baru-baru ini.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, siasatan itu termasuk berkenaan dakwaan pengelasan kematian palsu ‘Brought in Dead’ (BID) seperti laporan polis yang dibuat bapa kanak-kanak berkenaan, Bada Hussein, 48.

Menurut beliau, siasatan dalaman itu merupakan prosedur biasa yang dijalankan untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan terperinci berhubung kes berkenaan.

Bagaimanapun, jelasnya, kejadian itu kini juga masih dalam siasatan polis dan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan, justeru tidak boleh mengulas lebih lanjut sehingga siasatan kes tersebut selesai.

”Namun, kita sendiri menjalankan siasatan dalaman bagi mengetahui lebih lanjut dan secara terperinci berhubung kes itu dengan memanggil pihak berkaitan.

”Ini adalah prosedur biasa dan apa-apa kes yang berlaku memang kita jalankan siasatan dalaman jika ada aduan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau (HBP), di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

Zaliha mengulas mengenai laporan polis yang dibuat Bada berhubung pengelasan kematian BID dalam sijil atau permit pengebumian anaknya itu yang didakwa palsu dan tidak benar.

Bada dilaporkan berkata, anaknya masih hidup dengan dia mempunyai bukti termasuk resit pembayaran dan berharap pihak berkuasa menyiasat berhubung pengelasan kematian BID tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Zaliha berkata, dua lagi kes dakwaan kecuaian iaitu membabitkan fasiliti kesihatan kerajaan di Pahang dan Melaka ketika ini juga sedang dalam penilitian dan siasatan pihaknya.

”Kita kena tengok kes tersebut bagaimana, kerana bukan semua kes boleh diletakkan di bawah ‘medical legal’ dan ada disebabkan prosedur biasa.

”Bila ada aduan kita akan jalankan siasatan dan bagi kedua-dua kes ini siasatan terperinci juga sedang dijalankan,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang lelaki yang mendakwa tangan anak saudaranya yang berusia dua bulan mengalami bengkak dan bernanah ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka (HM).

Sementara itu dalam kes berasingan di Pahang pula, seorang wanita mendakwa anak lelakinya yang berusia dua tahun enam bulan meninggal dunia kerana tidak mendapat rawatan awal daripada doktor yang bertugas di klinik kesihatan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *