BEKAS calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Zuber Embong menyatakan kesediaan bertanding semula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu, 12 Ogos depan.
Bagaimanapun, katanya, keputusan itu diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Jika diputuskan bertanding, kita akan bertanding, jika keputusan sebaliknya, kita akan turun padang membantu calon yang dipilih bagi memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
“Kita sudah menang petisyen untuk membatalkan kemenangan calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu bagi membolehkan PRK diadakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Berita Harian.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani mengumumkan PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan PRN pada 12 Ogos depan.
Pada PRU15 November lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperolehi majoriti sebanyak 40,907 undi.
Ahmad Amzad memperolehi undi sebanyak 63,026, manakala Mohd Zuber (22,109), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (AMANAH) mendapat 10,946 undi manakala calon PEJUANG, Mohamad Abu Bakar Muda (481).
Leave a Reply