Amirudin kekal MB Selangor jika PH-BN menang-Anwar

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Datuk Seri Amirudin Shari kekal sebagai Menteri Besar Selangor jika gabungan itu dan Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

“Ini berikutan prestasi baik Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sepanjang menerajui Selangor, dengan membawa banyak pelaburan masuk,” ujarnya yang juga Perdana Menteri.

“Ini kali pertama saya umum (Amirudin kekal MB), dia pun terkejut,” kata Anwar ketika berucap pada majlis sentuhan agro Madani di Sekinchan, lapor FMT hari ini.

Minggu lalu, dalam wawancara bersama Bernama, Amirudin yang memegang tampuk pentadbiran negeri pada 2018 membayangkan terus menerajui kepimpinan negeri.

Wakil rakyat tiga penggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua itu berkata, secara umumnya kepimpinan PH di peringkat negeri sepakat dan bersetuju beliau terus mentadbir Selangor sebagai Menteri Besar.

Amirudin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang pada 19 Jun 2018 selepas Datuk Seri Azmin Ali melepaskan jawatan itu berikutan pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *