SELEPAS sembilan tahun tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh, waris serta keluarga mangsa nahas itu masih mengharapkan keadilan.
Biarpun Mahkamah Daerah The Hague pada tahun lalu sudah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Russia dan seorang warga Ukraine selepas didapati bersalah menembak jatuh pesawat malang itu pada 2014, keadilan yang diharapkan masih belum terlaksana.
Bagi Munirah Mustafa, kakak kepada pramugari MH17, Allahyarham Mastura Mustafa berkata, dia bersama beberapa waris lain masih sabar menunggu supaya mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan dan menjalani hukuman di atas perbuatan mereka.
“Hari ini kami dalam kalangan waris mangsa MH17 berkomunikasi sesama sendiri sempena memperingati tragedi MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.
“Namun, sehingga ke hari ini, sudah memasuki sembilan tahun, kami tetap sabar menunggu, mengharapkan akan ada keadilan sepenuhnya kepada semua mangsa,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.
Munirah berkata, apa yang keluarganya harapkan adalah supaya kes terbabit dapat diselesaikan sepenuhnya secepat mungkin.
“Tempoh hari kata sudah selesai tetapi sampai sekarang masih tergantung, malah proses (mahkamah) sudah dijalankan, siapa yang salah pun sudah diketahui tetapi masih tetap belum selesai.
“Kami sebagai waris hanya mahu kes ini selesai secepat mungkin, sudah bertahun kami menunggu,” katanya.
MH17 ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014 menyebabkan semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.
Penumpang lain membabitkan rakyat Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.
Tahun lalu, Mahkamah Daerah The Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Russia dan seorang warga Ukraine selepas didapati bersalah menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.
Dua warga Russia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko, turut didakwa menyebabkan semua 298 penumpang dan krunya terbunuh.
Hakim Hendrik Steenhuis yang membacakan ringkasan penghakiman turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa.
Beliau berkata, peluru berpandu Buk Telar dibawa ke Ukraine atas inisiatif Dubinsky, selaku pegawai memerintah dalam Republik Rakyat Donetsk (DPR) dan pegawai memerintah dalam DPR.
Leave a Reply