PERBUATAN seorang lelaki menyamar sebagai anggota polis mengundang padah, apabila dia ditahan polis di sekitar bandar Keningau, semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, suspek warga tempatan berusia 22 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
“Suspek ditahan ketika menjalani penugasan Op Samseng Jalanan, pada pukul 2 petang. Suspek ditahan menggunakan pakaian preman dan vest warna hijau tertera tulisan ‘polis’.
“Ketika diminta untuk menunjukkan identiti polis dan MyKad bagi tujuan pemeriksaan dan pengesahan, suspek gagal kemukakan kepada polis.
“Suspek kemudian dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan polis turut membuat rampasan beberapa barangan lain serta motosikal yang ditunggang suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya, lapor Harian Metro.
Leave a Reply