HUMAN Rights Watch (HRW) mendakwa seorang aktivis pelarian Myanmar dan keluarganya diculik beberapa lelaki tidak dikenali di rumah mereka di Malaysia.
Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa itu berkata, Thuzar Maung dan suami Saw Than Tin Win serta tiga anak mereka diculik dari rumah di Ampang Jaya pada 4 Julai lalu.
HRW memetik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi, sambil menambah Thuzar merupakan penyokong lantang gerakan pro-demokrasi di Myanmar.
“Kami bimbang dengan keselamatan Thuzar dan keluarganya yang diculik dalam operasi terancang. Kerajaan Malaysia perlu bertindak segera mencari keluarga itu dan memastikan keselamatan mereka,” kata Pengarah Asia HRW, Elaine Pearson dalam kenyataan.
Kumpulan itu mendakwa sebuah kereta memasuki komuniti berpagar mereka kira-kira 4.30 petang 4 Julai lalu dan memberitahu pengawal keselamatan mereka kononnya polis.
“Dua jam kemudian, Thuzar ketika bercakap telefon dengan kawannya, yang terdengar Thuzar menjerit kepada suaminya, lelaki tidak dikenali memasuki rumah mereka sebelum panggilan terputus.
“Kemudian, kereta sama dan dua kereta milik keluarga Thuzar dilihat meninggalkan kawasan itu,” dakwa HRW, lapor FMT.
Menurutnya, rakaman CCTV dari pondok keselamatan merakam nombor plat kereta ‘polis’ itu dan mendakwa polis tempatan mengenal pastinya sebagai palsu.
Thuzar menyokong demokrasi di Myanmar serta hak pelarian dan migran di Malaysia sejak sekian lama.
Beliau mempengerusikan Komuniti Pelarian Islam Myanmar dan Jawatankuasa Pekerja Migran Myanmar, selain bekerjasama rapat dengan pembangkang Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar.
Thuzar melarikan diri dari Myanmar pada 2015. Beliau dan keluarganya diiktiraf Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian di Malaysia.
FMT sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri dan polis untuk mengulas.
Leave a Reply