PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta jentera UMNO termasuk BN mengenepikan persengketaan untuk memastikan kemenangan Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.
Beliau yang suatu ketika dahulu alah melihat bendera roket (DAP) kini mengenepikan perkara lama demi memperkukuhkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, ketika ini UMNO dan DAP sudah menjadi kawan kerana sudah berada dalam kerajaan perpaduan.
“Dulu saya alergi (alah) tengok roket dan dulu juga lawan tetap lawan tetapi sekarang buat apa kita terus berlawan yang masa ini kita perkukuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Oleh itu, jentera UMNO BN diminta ketepikan persengketaan dengan tutup buku lama dan buka buku baru.
“Saya ingin berterima kasih kepada jentera UMNO Pulau Pinang yang mengatakan di mana sahaja calon Pakatan Harapan (PH) bertanding di situ jentera UMNO akan membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di Butterworth malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, BN mahu turut membantu kerajaan negeri Pulau Pinang apabila menang pada PRN nanti.
“Kerajaan Pulau Pinang, 15 tahun BN tak bersama tetapi kemajuan pembangunan perindustrian berteknologi tinggi amat dikagumi selain Selangor. Asas kemajuan (Pulau Pinang) asal BN suatu ketika dahulu tetapi hakikatnya selepas 15 tahun Pinang semakin maju.
“Jadi, BN mahu turut mahu membantu melalui menteri dari UMNO supaya dapat tarik pelabur ke Pulau Pinang termasuk mendokong Perdana Menteri yang kita mahu noktahkan kemiskinan tegar menerusi KKDW (Kementerian Desa dan Wilayah),” katanya, lapor Harian Metro.
Leave a Reply