BEKAS veteran DAP, Ronnie Liu mendakwa, pemimpin tertentu parti itu sudah melupakan nilai teras parti dan berisiko menjadi tokoh seperti dalam MCA.
Beliau yang bersama DAP selama 41 tahun sebelum keluar bulan lalu berkata tingkah laku mereka sangat mirip MCA.
Tanpa menamakan mana-mana individu, Ronnie berkata, perkara tersebut berlaku tanpa disedari.
“Mereka mungkin tidak tahu, (tetapi) mereka mula kata (perkara seperti) ‘kita perlu berkompromi’, ‘kita perlu melihat gambaran lebih besar’, ‘kita akan cuba tangani masalah itu secara dalaman’,” kata Liu kepada FMT.
“MCA pernah kata ini (perkara sama) sekian lama,” katanya menjawab pengkritik DAP yang membandingkan parti itu dengan MCA, selepas menyertai kerajaan dengan MCA sekian lama dikritik bertolak ansur dengan rakan kongsi Barisan Nasional lebih besar, UMNO.
Pengkritik parti itu termasuk bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Kua Kia Soong berkata, prinsip parti itu terjejas dengan sikap suka mengambil kesempatan ditunjukkan sesetengah pihak selepas menjadi kerajaan.
Liu dalam responnya berkata, penting untuk ahli DAP terus bersuara dan menyuarakan pandangan mereka secara terbuka, khasnya dalam isu seperti rasuah dan salah guna kuasa.
“Saya harap DAP tidak akan lupa mengenai ini. Kami mahu keadilan, demokrasi, kebebasan dan hak sama rata.”
Sesetengah pemimpin DAP mula melupakan idea itu, katanya, apabila mereka dikuasai ‘3P’ (kuasa, kedudukan dan manfaat).
“Mereka (yang) merasai kuasa, kedudukan dan manfaat sudah melupakan nilai dan kebaikan (mereka) serta mengapa mereka menyertai politik. Ini bukan caranya,” katanya lapor Malaysiakini.
Liu keluar DAP bulan lalu kerana ada banyak insiden ‘di luar jangkaannya’.
Leave a Reply