Oleh RIZQI ZABIDI
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengingatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail agar tidak melakukan kerja-kerja ‘penyangak’ dengan menuduhnya sebagai mencuri kesalahan unsur nadir bumi (REE) tanpa bukti serta dokumen mahu pun bahan sokongan lain yang sahih.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau juga akan turut mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis serta saman terhadap Saifuddin kerana membuat tuduhan yang didakwanya langsung tidak benar.
Menerusi penjelasan yang dibuat secara panjang lebar, Muhammad Sanusi berkata, beliau dan Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bukanlah pihak yang dikompaun sebanyak RM500,000 oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) kerana mencuri REE pada Oktober tahun lalu kerana mencuri REE.
“Yang dikompaun itu adalah seorang lelaki kaum Cina yang beralamat di Kuala Krai, Kelantan. Dia didakwa telah melakukan satu kesalahan mencabut atau mengalihkan bahan batuan yang mengandungi REE tanpa permit di bawah Seksyen 426 (1) Kanun Tanah Negara dan dikenakan kompaun RM500,000 maksimum.
“Tarikh kompaun itu dikeluarkan adalah pada 5 Oktober 2022 dan penama tersebut telah menjelaskannya pada 10 Oktober 2022. Kompaun tersebut perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari daripada notis tersebut dikeluarkan dan jika tidak, pendakwaan boleh dibuat tanpa notis selanjutnya.
“Saifuddin cakap 4 Oktober, jadi maklumat itu tak ‘update’ atau dia curilah. Beliau gunalah sikit-sikit dokumen untuk kenakan kita dengan jalan yang salah dan saya fikir, sebagai Menteri Dalam Negeri tak boleh buat kerja begitu kerana itu kerja penyangak.
“Penyangak yang tak ada jawatan apa-apa dan tak diikat undang-undang tak apalah buat begitu. Sebagai menteri, kena ada sokongan dokumen dan butiran. Perlu ada data lengkap, baru boleh cerita apa yang patut diceritakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan geran tanah di daerah Bandar Baharu, hari ini.

Ketika berucap sempena Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Kedah di Padang Awam Guar Chempedak malam tadi, Saifuddin mendakwa denda tersebut dikeluarkan tahun lalu oleh PTG Kedah terhadap Muhammad Sanusi atas kapasitinya selaku Pengerusi MBI Kedah.
Saifuddin mendakwa, perkara dinyatakannya itu merupakan permulaan dan masih ada beberapa lagi siri pendedahan akan dibuat selepas ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu sudah diterangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini dengan beliau turut pernah menasihatkan semua pihak agar tidak menyerbu tanpa memakai ‘helmet’ kerana setiap jabatan dan agensi memiliki undang-undang yang perlu dikuatkuasakan, diikuti dan dipatuhi.
“Untuk tuduhan tak benar ini, saya telah arahkan pegawai untuk buat laporan polis dan tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan peruntukan sedia ada. Tak kira menteri atau tidak, saya akan saman.
“Ayatnya jelas menuduh saya sebagai pencuri. Tak kiralah beliau menteri atau tak, saya akan ambil tindakan undang-undang dan sebagai menteri, sepatutnya dia lagilah kena ikut undang-undang kerana beliau Menteri Dalam Negeri,” katanya.
Leave a Reply