Rampas kerusi Parlimen Tambun 4 tahun lagi, kata Faizal Azumu

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, tugasnya adalah untuk membantu partinya menang dalam PRN di Negeri Sembilan.

“Saya bukan nak jadi calon di sini namun akan kembali bertanding di Tambun empat tahun lagi bagi merampas kembali kerusi itu.

“Kalau panjang umur, saya nak (mahu) lawan Datuk Seri Anwar Ibrahim balik, harap dia jangan tukar kawasan lagi.

“Buat masa sekarang, tumpuan saya adalah bagi membantu Perikatan Nasional merampas Negeri Sembilan tetapi bukan sebagai calon,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika berucap di majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) Peringkat Parlimen Port Dickson di Port Dickson hari ini.

Katanya, hasil jelajahnya di seluruh 36 DUN di Negeri Sembilan, PN mempunyai peluang cerah bagi membuat kejutan dalam PRN enam negeri di Negeri Sembilan.

Menurut bekas Menteri Besar Perak itu, kajian yang sudah dibuat pihaknya menunjukkan ada perubahan besar.

“Apa yang saya nampak adanya perubahan sikap pengundi semua kaum yang bergabung seperti suasana pelancaran Jentera Perikatan Nasional Negeri minggu lalu apabila ramai jentera parti daripada pelbagai kaum, Melayu, Cina dan India memberikan sokongan,” ujarnya.

Faizal berkata, pihaknya tidak terpedaya dengan isu perebutan kerusi antara komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (Amanah) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng.

“Kami tidak rasa isu itu sebagai ‘peluang’ tetapi sudah menjangka ia akan berlaku antara parti komponen mereka tetapi jentera akan bekerja seperti biasa mendekati pengundi.

“Jentera Perikatan Nasional pastikan sentiasa membuka pintu kepada penyokong parti lawan terutamanya daripada parti UMNO yang kecewa, kami alu-alukan mereka untuk datang atau menyokong kami,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berharap ahli Perikatan Nasional tidak sabotaj parti apabila nama tidak naik sebagai calon PRN kali ini dan perlu berlapang dada dan teruskan bekerja secara berpasukan tanpa mengira calon.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *