KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Delima disandang DAP menjadi rebutan antara DAP dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang.
Sumber BN berkata, menerusi rundingan awal sebelum ini, kerusi itu sepatutnya ditandingi MCA selepas diberi laluan oleh DAP yang menguasai Seri Delima sejak 2008.
“Tetapi MCA telah putuskan tak bertanding, jadi kita merasakan kekosongan itu sepatutnya diisi UMNO.
“Kalau boleh kita mahu tambah satu lagi kerusi di bahagian pulau, setakat ini hanya dapat Teluk Bahang.
“Perbincangan masih berjalan dan siapa wakil BN-PH (Pakatan Harapan) akan diputuskan pucuk pimpinan dalam masa terdekat,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid dari DAP yang menang Seri Delima pada PRU14 dengan majoriti 16,553 undi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi itu.
Rabu lalu, Ketua DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata Seri Delima antara 19 kerusi akan ditandingginya pada PRN 12 Ogos depan.
Bagaimanapun, Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata ada dua kerusi masih dirunding dengan PH selepas enam kerusi telah dimuktamadkan kepadanya iaitu Teluk Bahang, Sungai Dua, Bertam, Penaga, Permatang Berangan dan Sungai Acheh.
Sumber itu berkata sebelum ini BN turut meminta bertanding di DUN Batu Maung yang disandang Exco Pulau Pinang Abdul Halim Hussain dari PKR.
“Tetapi berdasarkan rundingan, PKR nampaknya akan kekal di sana,” katanya.
Selain Pulau Pinang, pilihan raya juga diadakan di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Leave a Reply